.: MAHAsiswa UM Sambut PRK 25 Jan 2010:.  

Posted by admin multimedia in


Oleh G. Manimaran(themalaysianinsider.com)

KUALA LUMPUR, Jan 19 — Kira-kira 70,000 pelajar melibatkan enam universiti awam akan mengundi pada pilihan raya kampus serentak hari yang sama minggu depan, satu keadaan yang agak berlainan berbanding sesi pengajian lalu.

Keenam-enam universiti terbabit akan mengadakan pengundian secara serentak pada 28 Jan.

Mereka merupakan pelajar Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Putra Malaysia.

Perkembangan itu dijangka akan memberi impak ke atas keputusan pemilihan kali ini.

Malah buat pertama kali pelajar Universiti Malaya akan mengundi menggunakan sistem pengundian elektronik (e-undi).

“Sejak hari pengundian secara berperingkat-peringkat diperkenalkan bermula sesi pengajian 2008/09, ini kali pertama sejumlah universiti awam mengadakan pemilihan serentak pada hari yang sama.

“Sebab pengurusan universiti-universiti ini mengambil langkah ini, kami tidak pasti... kami tidak tahu,” kata Pengerusi kumpulan Pro-Mahasiswa, Mohd Shafie Hashim ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Penamaan calon pemilihan bagi universiti-universiti berkenaan akan berlangsung pada 25 Jan dan disusuli dengan hari mengundi pada 28 Jan.

Setakat ini Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan pilihan raya masing-masing. Pilihan raya kampus UMT berlangsung kelmarin.

Universiti Sains Malaysia juga dipercayai akan mengadakan pilihan raya kampus untuk memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada 28 Jan.

Sebelum sesi pengajian 2008/09, institusi pengajian tinggi awam mengadakan pilihan raya kampus pada semester pertama pada hari yang sama.

Bagaimanapun ia berubah selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Dengan itu, universiti-universiti diberi kebebasan untuk memilih tarikh sendiri sama ada pada bulan Oktober (semester pertama) ataupun Januari semasa semester kedua.

Mohd. Shafie juga berkata pihaknya tidak menjangkakan pengurusan-pengurusan universiti terbabit akan memilih tarikh yang sama.

Dalam pilihan raya kampus kelmarin, kumpulan Pro-Mahasiswa memecahkan tradisi penguasaan MPP dengan memenangi pilihan raya kampus UMT.

Kumpulan Pro-Mahasiswa menguasai 11 daripada 12 kerusi MPP yang dipertandingkan.

Ini kali pertama kumpulan itu menguasai majoriti MPP yang menawarkan 12 kerusi melibatkan empat fakulti.

MPP UMT sepanjang empat sesi pengajian lalu dikuasai kumpulan Pro-Aspirasi.

MPT merupakan antara IPT awam baru ditubuhkan di negara ini.

Pro-Mahasiswa dan pro-Aspirasi merupakan dua ikatan tidak formal utama mewakili pelajar-pelajar IPTA dalam pilihan raya kampus IPTA. Kumpulan Pro-Aspirasi dilabelkan sebagai ikatan menyokong prinsip perjuangan politik kerajaan persekutuan manakala Pro-Mahasiswa dilihat mempunyai pendirian yang bertentangan.

Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa, melibatkan 14 universiti awam, telah melancarkan Misi-10 iaitu sasaran menawan kampus dalam pilihan raya MPP yang berlangsung mulai bulan ini.

Selain UMT, universiti yang diwakili kumpulan Pro-Mahasiswa itu setakat ini ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tenaga Malaysia, Universiti Industri Selangor, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Utara Malaysia.

MiSi-10 merupakan gabungan barisan yang diketuai oleh Pro-Mahasiswa berganding bahu bersama badan mahasiswa yang lain iaitu SMM, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Pergerakan Pemuda dan Pelajar Demokratik (Dema), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah).

Kumpulan itu juga menuntut agar pengurusan universiti membenarkan kehadiran ejen pemantauan dari luar sepanjang pemilihan kampus diadakan.


:: ehsan the malaysian insider::

This entry was posted on Wednesday, January 20, 2010 at 4:38 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment